Selepas Kampung Boy Lat

Kampung Boy mengimbau zaman kanak-kanak Lat seperti bermain tarik upih pinang bersama kawan-kawan sebaya.

Pada tahun 1981, Town Boy diterbitkan sebagai kesinambungan cerita Kampung Boy yang menceritakan zaman remaja watak utamanya dalam latar bandar. Dua lagi himpunan kartun editorial Lat (With a Little Bit of Lat dan Lots More Lat) diterbitkan, maka makin ramailah orang yang mengenali beliau.[42] Pada tahun 1984, dengan kehendak untuk berundur dari perhatian ramai antara sebabnya, Lat meletak jawatan dari New Straits Times untuk menjadi pekerja bebas,[5][43] tetapi beliau masih melukis Scenes of Malaysia Life untuk akhbar itu. Beliau mendirikan syarikat sendirinya, Kampung Boy Sendirian Berhad, untuk menyelia pembarangan watak-watak kartunnya dan penerbitan bukunya.[44][45] Pada tahun 2009, Kampung Boy menjalin perkongsian dengan Sanrio dan Hit Entertainment untuk projek taman tema tertutup di Malaysia yang menampilkan watak-watak Kampung Boy, pada akhir tahun 2012.[46][47]

Lat telah bereksperimen dengan media selain akhbar. Pada tahun 1993, beliau menerbitkan filem animasi pendek berjudul Mina Smiles untuk kempen celik huruf Unesco.[48] Langkah beliau yang seterusnya dalam bidang animasi didorong oleh pandangannya bahawa animasi Barat pada 1980-an dan 1990-an membawa pengaruh negatif, maka beliau ingin menerbitkan siri animasi yang menyemai nilai-nilai murni tempatan di kalangan anak-anak Malaysia.[49] Maka lahirnya siri televisyen Kampung Boy yang diadaptasi dari komik mahakaryanya pada tahun 1997. Siri 26 episod ini menerima pujian kerana keperincian teknik dan isi kandungannya,[50] tetapi juga diulas kerana keserupaannya dengan The Simpsons, serta versi bahasa Inggeris yang tidak berciri tempatan sepenuhnya.[51] Pada tahun 2009, Lat kembali ke persada animasi dengan filem animasi muzikal Lat's Window to the World yang ditayangkan di Dewan Filharmonik Petronas. Khidmat Lat ditempah untuk mereka tiga vignet animasi yang berdasarkan Kampung Boy untuk mengiringi irama muzik Orkestra Filharmonik Malaysia.[13] Skor muzik gubahan Carl Davis mengiringi visual Lat untuk menyerlahkan semangat kehidupan anak-anak kampung pada "zaman silam yang ringkas dan indah".[52]

Pada tahun 1997, selepas 27 tahun menetap di Kuala Lumpur,[53]Lat berpindah balik ke Ipoh bersama keluarganya. Selain mengurangkan penglibatannya dalam bidang kartun, beliau ingin mendekati kampung halamannya serta membenarkan anak-anaknya mengalami kehidupan dalam pekan atau desa;[7][23] beliau berkahwin pada tahun 1977,[54] dan mempunyai empat anak, iaitu dua perempuan dan dua lelaki.[55][56] Lat mengulas bahawa membesarkan anak-anaknya membantunya menangani tekanan sebagai orang terkenal serta menyedarkannya bahawa beliau mungkin akan menyisihkan generasi baru warga Malaysia yang berlainan citarasanya terhadap kartun.[57] Kerja beliau turut bantu oleh isterinya yang mengimbas kartun-kartun yang siap lalu mengemelkannya kepada pihak akhbar di Kuala Lumpur. Lat masih melukis dengan pena dan dakwat serta mengelakkan penggunaan komputer kecuali untuk membaca e-mel.[1] Pada tahun 2011–12, beliau berganding bahu dengan seniman-seniman lain dari seluruh dunia untuk program Civitella Ranieri Fellowship di Itali selama sebulan, apabila mereka digalakkan berkongsi gagasan dalam suasana yang dirangsang supaya merangsang daya cipta mereka.[58]

Rujukan

WikiPedia: Lat http://www.asiaone.com/News/AsiaOne+News/Malaysia/... http://www.asiaone.com/News/Latest+News/Showbiz/St... http://www.asiaone.com/print/News/Latest+News/Show... http://books.google.com/books?id=1sVP1HbUno4C http://books.google.com/books?id=1sVP1HbUno4C&pg=P... http://books.google.com/books?id=CdoK7S3o4U8C http://books.google.com/books?id=CdoK7S3o4U8C&pg=P... http://books.google.com/books?id=DgCAQXoMQ3kC http://books.google.com/books?id=DgCAQXoMQ3kC&pg=P... http://books.google.com/books?id=IhrwflT-koMC